Tempat-tempat menarik dibandaraya Kuching, Sarawak

Tempat Menarik di Kuching

Isnin, 4 April 2016

Serapi Corner Batu 7

Namun, bagi mereka yang tidak pandai memasak, apatah lagi orang Sarawak yang kurang arif tentang resipi dari Malaysia Barat, boleh pening kepala memikirkan di mana ada kedai makan atau restoran yang menyajikan hidangan masakan Melayu Semenanjung yang benar-benar menepati selera.

Terbayanglah keenakan gulai kawah utara, ikan tenggiri masak lemak cili api, mi kari Ipoh, asam laksa nyonya, nasi lemak kukus, pelbagai jenis kerabu dan ulam-ulaman yang menyelerakan.

Bagi yang tercari-cari tempat makan menyajikan hidangan ini, datanglah ke Serapi Corner terletak di Rich Commercial Centre, Pekan Batu 7, Kota Sentosa di Kuching.

Kedai makan berkonsep terbuka yang memfokuskan kepada masakan Melayu asli Semenanjung ini dimiliki oleh anak jati Sarawak, Hashimah Edwin dan suaminya, Kapten (B) Md. Nasir Md. Zain yang merupakan bekas pegawai tentera berasal dari Baling, Kedah.

Menurut Hashimah, kedai makan yang dibuka sejak September 2003 itu menyajikan hidangan nasi campur dan juga ala carte bermula pukul 7 pagi hingga 11 malam pada setiap hari.

Dalam tempoh 13 tahun beroperasi, katanya, Serapi Corner telah berjaya menarik pelanggan tempatan dan luar daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan kenamaan (VVIP) serta artis untuk menikmati masakan Melayu Semenanjung yang disajikan di situ.

“Pelanggan yang datang berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan kerana benar-benar menepati cita rasa masakan asli dari Semenanjung walaupun hanya seorang daripada empat chef kami merupakan orang Semenanjung.

“Resepi kejayaan kami bertahan sampai ke hari ini ialah kawalan kualiti makanan yang ketat untuk memastikan masakan disajikan adalah konsisten.

“Malah, saya selaku Pengarah Serapi Corner yang mengetuai pasukan kawalan mutu makanan akan memastikan kaedah memasak dan bahan-bahan digunakan adalah benar-benar mengikut resipi asli serta dijamin enak rasanya,” kata beliau ketika ditemui di Serapi Corner baru-baru ini.

Hashimah berkata, menu utama disajikan ialah nasi campur Serapi yang menyediakan lebih 30 jenis lauk-pauk untuk makan tengah hari pada setiap hari.

Selain itu, katanya, mereka juga menyediakan menu ala carte yang menyajikan nasi ayam panggang Serapi, nasi lemak kukus, masakan berlauk, nasi goreng (18 jenis), mi kolok dan laksa Sarawak istimewa, assam laksa nyonya, mi kari Ipoh dan sup tulang.

Mengenai lauk-pauk disajikan, beliau berkata, selain masakan Melayu Semenanjung, pelanggan yang datang juga boleh menikmati masakan tempatan Sarawak seperti umai (makanan tradisional kaum Melanau) ikan, udang atau obor-obor.

Bagi peminat kerabu pula, Serapi Corner menghidangkan belasan jenis kerabu yang berbeza pada setiap hari seperti kerapu ikan bilis, pegaga, sotong, pucuk paku dan daum selom.

Paling istimewa, katanya, terdapat juga gulai kawah utara yang pastinya membuka selera.

Selain kedai makan berkonsepkan kopitiam, Hashimah berkata, mereka juga menyediakan dewan untuk tempahan majlis yang mampu memuatkan 120 pelanggan di tingkat atas Serapi Corner.

“Pelanggan yang ingin menganjurkan majlis di ruang atas restoran dinasihatkan membuat tempahan dahulu,” katanya.
PEMILIK Serapi Corner, Hashimah Edwin (kiri) bersama Pengurus Bahagian Operasi Serapi Corner, Hoo Jet Son (kanan) dan Chef Mohd. Rosli Abdullah (tengah) menunjukkan sebahagian daripada menu di Serapi Corner.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...